Monday, December 20, 2010

:: Niat ::

Niat itu penting ..


Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.

Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

 Salah Faham !!!

Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.

Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).
Hari ini kita melihat banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama Islam, tetapi jalan dan tindakannya amat berbeza dengan ajaran Islam. Apa sebabnya? Semuanya kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan ada-adakan, namun niat siapa yang tahu?


                                                                    Ikhlas :

1 comment:

  1. Salam saudari, suatu nukilan menarik, namun maaf jika saya menyampok, dalam bab fiqh, ada perkara yang kita wajar mendalami seperti dengan mengikut pendapat sepakat mahzab ulama yang kita dikuti.

    Seperti contohnya, dalam bab fiqh, adalah menjadi kewajipan kita mengetahui solat apa yang kita lakukan (contohnya solat zohor diwaktu zohor),tanpa mengetahuinya seperti sebelum memulai solat, maka solat terbatal. Terutamanya dinegara yang waktu solatnya bertukar secara drastik kerana pertukaran 4 musim, contohnya terjadi, solat Isyak adalah pada waktu asar iaitu pukul, maka wajar sahaja berlaku kesilapan.

    Maka kerana itu, para ulama telah menetapkan kewajipan berniat (seperti didalam hati). Contohnya juga, seperti kita berniat untuk berpuasa dibulan ramadan atau qada puasa wajib yang dengan niat ini, membezakan dengan puasa sunat yang kita lakukan.

    Oklah saudari, maaf sekiranya saya tersilap, saya seorang muqalid mahzab, bukan mujtahid. Teruskan menulis, suka saya baca nukilan saudari.

    ReplyDelete

Assalamualaikum . Moga diredhai Allah Taala . Amin..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...