Friday, December 17, 2010

Kisah perempuan miskin, lembu tua dan Gaza

Mungkin kisah ini agak panjang tapi penuh dengan pengiktibaran. Kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu. Kisah benar ini telah di paparkan di dalam sebuah majalah Arab 

Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil comel dan wanita menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti. 

Tragedi dasyat ini sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan bersimpati dengan apa yang berlaku di Gaza. 

Lantas suatu hari, dia berazam untuk cuba membantu sekadar mampu. Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan satu-satu hartanya iaitu seekor lembu tua kepada penduduk Gaza. 

Dia lalu berjalan kaki ke salah sebuah masjid di Yaman sambil menarik lembu harta kesayangannya itu. Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah memenuhi pekarangan masjid untuk melaksanakan solat Jumaat. 

Para jemaah merasa hairan melihat gelagat perempuan tua itu dengan lembunya berada di sisi luar masjid. Ada juga yang tersenyum-senyum malah ada yang terpinga-pinga melihat gelagat perempuan itu setia berdiri di sisi lembunya. Gilakah perempuan ini? 

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua makhluk Allah itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ seolah-olah sedang menunggu sesuatu. 

Sebaik selesai solat Jumaat, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil meminta jemaah memanggil tuan imam. Sambil menantikan kedatangan tuan imam, ramai juga jemaah yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apakah bakal dilakukan oleh perempuan tua itu dengan tuan imam. 

Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu lantas berjumpa dan berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza . Aku seorang yang miskin tetapi aku juga ingin turut serta membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu aku ini untuk di berikan kepada penduduk di sana ." 


Gamam imam mendengarkan kata kata perempuan itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap apabila mendengar kata-kata perempuan tadi. Ada yang mengatakan tidak munasabah nak bawa lembu tua tu ke Gaza. 

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza . Aku tiada wang...Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," rayu perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih merasa keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu. 

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana. Tiba-tiba muncul seorang jemaah memberi pendapat." Beginilah, aku juga mempunyai niat untuk membantu, biar aku beli lembu ini dengan harga 10,000 riyal dan kemudian sedekahkanlah wang itu kepada penduduk di Gaza . 

Imam nampaknya setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia nampaknya seperti akur dengan pendapat jemaah itu. 

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita ramai-ramai buat tawaran untuk membeli lembu ini sambil bersedekah dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza ?" 

Syor anak muda ini mendapat sambutan. Dipendekkan cerita, dalam masa tak berapa lama, duit yang dapat dikumpulkan adalah lebih kurang 500,000 rial (lebih kurang RM 500,000). Menurut cerita, lembu itu kemudian dihadiahkan kembali kepada perempuan tua itu. 

Pengajaran 
Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang sebegitu banyak manakala dia juga mendapat kembali satu-satunya 'harta' yang beliau ada. Subhanallah. 

Iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang seorang ma'nusia yang lemah daya upaya tapi masih juga ingin berbakti. 

Bagaimana dengan kita yang sihat ini, tak tersentuhkah hati kita untuk turut membantu? 

Sekiranya anda bersimpati, sudilah hulurkan sumbangan, demi insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298 atau tabung-tabung pilihan anda sendiri. Yang penting, kita harus pastikan ianya sampai ke tangan orang-orang yang berhak. 

Sekian.........Sebar-sebarkan lah benda yang baik ini. Allahua'lam

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum . Moga diredhai Allah Taala . Amin..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...