KOTA BHARU - Masih ramai dalam kalangan masyarakat di negeri ini masih segan menyebut perkataan ‘zina’ secara terbuka dan mereka memilih untuk menyebut perkataan lain yang dianggap lebih sopan dan menjaga keaiban.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Daerah Kota Bharu, Dr Mohd Sharani Mohd Naim berkata, perkataan ‘zina’ seolah-olah menjadi fobia kepada orang yang takut kepada perundangan Islam dan mereka tidak gemar menggunakannya dan mempopularkan istilah lain termasuk bersama, hubungan jenis luar nikah, hubungan seks secara haram, persetubuhan haram, bersekedudukan dan berkhalwat.
“Dengan menyebut perkataan zina, masyarakat lebih nampak ada hukuman melalui undang-undang dan zina perlu disebut (secara langsung) bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menjauhi gejala sosial yang boleh mendorong maksiat.
“Melalui maksiat (zina) ini, ia membawa kepada masalah pembuangan bayi ini, malahan zina merupakan puncak kepada segala jenis perubatan jahat antara lelaki dan wanita yang tidak berkahwin,” katanya kepada pemberita semasa berucap semasa Seminar ‘Buang Bayi: Kita Mampu Menghentikannya (Penyelesaian Dari Sudut Syariah)’ di Hotel Raudhah di sini, semalam.